Saturday, January 1, 2011

Indah Kehidupan - Bhg. 2

Saya sendiri tidak pernah mempersoalkan diri tentang perkara ini, walaupun yang indah dan gundah, yang suka dan duka itu telah banyak berselang-seli dalam hidup sendiri. Sayang seribu kali sayang. Ujian kehidupan dalam rencah indah dan gundah itu dilalui dengan penuh kebetulan, bukan perancangan.

Akhirnya, yang indah sahaja dinikmati, yang gundah – semuanya ditangisi. Mengapa ditangisi? Kerana menikmati keindahan, dan menangisi kegundahan itu adalah sifir semulajadi yang terbit dari naluri insani.

Siapa tak gembira jadi juara perlumbaan? Siapa tak sedih gagal peperiksaan? Siapa tak bahagia bila dihargai? Siapa tak sedih bila dicaci maki? Siapa tak suka dilayan dengan baik? Siapa tak sedih kalau diherdik? Siapa tak itu… Siapa tak ini… Begitulah seterusnya.

Berasa gembira dengan kebaikan yang menjengah dan berasa dukacita dengan keburukan yang menyinggah – adalah apa yang melazimi perasaan manusia. Seolah-olah memang itulah caranya manusia merasa. Ya. Itu memang cara manusia merasa. Tapi, itu bukan satu-satunya cara manusia merasa.


Yang Indah Dalam Gundah

Kalaulah perasaan diperaturankan untuk sentiasa begitu dalam merasa, maka tidak mungkin dapat kita bertemu dengan kisah para sahabat dan pejuang Islam terdahulu yang mempunyai ketenangan hati dan optimism yang sangat tinggi, walaupun indah dan gundah yang menjengah kehidupan mereka itu berselang seli dengan begitu dahsyat sekali.

Bahkan sejarah sendiri mencatatatkan, bahawa yang gundah-gundah itu lebih dominan memonopoli susuk kehidupan mereka. Seksaan demi seksaan, kesusahan demi kesusahan, penderitaan demi penderitaan dan kesakitan demi kesakitan sentiasa berselang-seli sesama sendiri tanpa sedikit pun simpati terhadap empunya diri. 

Menarik. Segala gundah yang menyinggah kehidupan mereka tidak sesekali menukarkan mereka menjadi manusia yang pesimis, berputus asa, lemah, panasaran, negatif, putus asa, bengis dan sebagainya. Bahkan, setiap gundah yang dilalui itu hanya lebih menyerlahkan potensi dan kehebatan jiwa mereka. Cuba hayati kisah-kisah kehidupan para sahabat dan pejuang beriman yang teruji dahulu; kemudian perhatikan – dari kaca mata apakah setiap kegundahan, keperitan, kesakitan atau penderitaan itu dimengertikan.

Ada yang diuji dengan kematian tragis, kecacatan, kesakitan, kecaman, pembuangan, fitnah, kefakiran, penindasan dan beraneka lagi ujian lainnya. Mereka diuji dengan ujian yang pelbagai dan berbeza; tetapi pada akhirnya setiap ujian itu tetap dimengertikan dari kaca mata yang sama. Dari kaca mata seorang hamba - yang sangat meyakini janji-janji TUHANnya; bahawa setiap yang datang dari TUHANnya itu semuanya baik-baik sahaja.

Keyakinan bahawa ketetapan ALLAH itu adalah ketetapan terindah; melahirkan kesimpulan-kesimpulan yang positif di sebalik setiap kisah pahit dan gundah yang dilalui. Lebih hebat lagi, setiap yang gundah itu juga tidak pernah dilihat sebagai suatu yang wajar ditangisi, bahkan diyakini sebagai suatu yang bernilai tinggi untuk dipelajari dan disyukuri.

Lantas, kesimpulan yang positif ini secara tidak langsung mendorong mereka untuk melahirkan tindakan yang juga positif. Tiada lagi istilah gundah. Semuanya jadi indah; indah pada mengertikan segunung hikmah, yang menjelma di balik bayangan gundah.



Rasa Manusia vs Rasa Hamba 

Ketika saya bermuhasabah tempoh hari, saya bertanya diri sendiri. Apakah wajar untuk saya tangisi sesuatu yang sedang terjadi kini? Perasaan saya sebagai seorang manusia mengizinkan saya untuk berasa kecewa dan berduka cita. Tiada salahnya.

“Saya cuma manusia biasa. Haruslah berperasaan macam biasa. Yang gundah – ditangisi. Kalau gagal peperiksaan, diherdik di tempat kerja, diuji dengan kematian atau perceraian, difitnah, disisihkan, dihina dan sebagainya – siapa tak bersedih dan berdukacita..? Kalau tak bersedih dan berdukacita, tak normal namanya tu..”

Sebenarnya, itu cuma justifikasi untuk mengurangkan rasa bersalah kerana bersikap lemah dan negatif.  

Kemudian, saya panjangkan penelitian mengingati kembali kisah-kisah para sahabat yang ternyata jauh lebih hebat diuji. Lantas saya menemukan jawapan bahawa dalam berhadapan dengan ujian kesusahan atau kegundahan; manusia sebenarnya diajukan dengan 2 pilihan.

Pilihan samada untuk merasa sebagai seorang manusia, atau merasa sebagai seorang hamba. Manusia ataupun hamba; hakikatnya keduanya adalah makhluk yang serupa. Bezanya, seorang hamba itu meyakini bahawa dirinya adalah seorang manusia. Sedangkan, tidak semua manusia itu menyedari bahawa dirinya itu hakikatnya cumalah seorang hamba. Perbezaan dari menilai fungsi peranan dan kehidupanlah yang menyebabkan 2 kelompok tadi berbeza dari seni merasanya.

Manusia – selalu mempersoalkan emosinya yang ternafi. Wajarkah aku diperlakukan begini? Sedangkan hamba, takkan pernah mempersoalkan hak emosinya yang dikurangi, kerana sentiasa terarah untuk melihat hak TUHANnya yang berkuasa menguji sesiapa sahaja yang dikehendaki.

Manusia yang terlupa bahawa segala gundah yang terjadi itu adalah dari Ilahi, berani mempertikaikan itu dan ini sedangkan tanpa dia sedari, pertikaian itu adalah cerminan sombongnya diri di hadapan Ilahi. Adapun manusia yang sentiasa menyedari bahawa gundah yang datang itu adalah sebahagian perencanaan Ilahi untuk menguji imannya, mereka akan sentiasa merendahkan diri dan menilai segala yang terjadi itu dari kaca mata yang positif semata-mata; walau jelas hak dan emosinya itu sangat ternafi.

Apabila difitnah, tidak melatah tetapi dia bermuhasabah. Apabila dicaci, tidak membenci tetapi menyedari kelemahan diri. Apabila ditentang, tidak meradang tetapi terus belajar bertenang. Apabila ditohmah, tidak menyumpah tetapi tetap bersikap rahmah. Begitulah seterusnya. 

Akhirnya, kerana terdorong untuk merasa sebagai seorang hamba - yang sewajarnya sentiasa positif dengan ALLAH Ta’ala, gundah-gundah yang menjengah itu bukan sahaja terselamat dari tingkah yang salah, sebaliknya menjadikan dia seorang yang lebih matang dan bersedia untuk terus ditarbiah.

Dari sini, saya mula pelajari dan meyakini bahawa segala yang terjadi dalam hidup ini sebenarnya semua indah-indah belaka. Indah bukan pada nilai zahirnya, tetapi indah pada nilai tarbiahnya.


Segala apa yang terjadi, adalah dari ketentuan Ilahi. Setiap apa yang terjadi, ada hikmahnya yang tersendiri. Pada mengerti akan sebutir hikmah, di situlah letaknya indah sebuah kehidupan.



No comments:

Post a Comment