Wednesday, October 26, 2011

Berkongsi Dari Hati

Tentang Sebuah Penulisan

Perasaan selalu mendorong saya untuk menulis. Tulisan bukan sebarang tulisan. Saya mematlamatkan tulisan untuk bertindak sebagai muhasabah yang mampu menatijahkan saya (dan seiapa jua yang membaca) untuk kembali kepada ALLAH. Sudah lama saya mahu menulis, menanti-nanti saat untuk menulis, mencipta idea untuk menulis dan memaksa diri agar berupaya menulis.
Tetapi, masa berjam-jam di hadapan laptop hanya menghasilkan beberapa baris perkataan murahan yang dirangkum tidak lebih dari 2 perenggan. Semenjak kebelakangan ini, itulah yang terjadi. Saya benar-benar tidak dapat meneruskan penulisan. Kerana itu blog ini sekian lama dibiar sepi.  
Kalau sekadar mahu menulis, mungkin saya mampu menulis. Mereka-reka bait kata yang indah dan berirama, menghurai idea-idea yang bernas dengan hujah-hujah yang tuntas atau mencipta perumpaan-perumpamaan yang mengasyikkan lagi membuai perasaan. Tapi, itu bukan niat dan tujuan saya menulis. Jari jemari yang menari di atas keyboard ini bukan sekadar mencantumkan huruf-huruf hingga terbentuk perkataan, tetapi turut mencantumkan perasaan dan pemikiran lantas membentuk sebuah pemahaman.
Justeru, soal  menulis bukanlah sesuatu yang enteng pada pandangan saya. Ada mata yang membaca, ada minda yang mencerna, ada hati yang merasa. Biar mata membaca yang berkualiti, kerana minda akan mencerna membentuk sebuah mentaliti justeru mempengaruhi hati yang memerintah kerajaan diri.

Jadi, soal menulis atau menyiapkan bahan bacaan, bukan  sekadar peranan jemari yang menari, tetapi juga soal hati yang ingin berkongsi. Mesti berhati-hati, mesti penuh teliti, agar yang dikongsi itu mempunyai kualiti dan nilai pahala tersendiri.
Kaitan Hati Dengan Perihal 'Berkongsi'
Hati yang sihat, akan melahirkan perkongsian yang cemerlang. Perkongsian yang cemerlang, menganjur minda menjadi matang, menyuluh hati menjadi terang.  Minda yang baik berperanan, menyuburkan hati dalam keimanan.
Sedang hati yang gersang, akan melahirkan perkongsian yang songsang. Perkongsian yang songsang membuat minda menjadi cacat dan memudahkan hati menjadi jahat.  Minda yang hilang fungsi, akan merosakkan hati dan mencelakakan diri.
Kerana itu, bahan tulisan dan bacaan yang merupakan makanan minda ini harus disediakan dengan penuh berhati-hati. Menulis bukan sekadar menulis. Membaca bukan sekadar membaca. Menulis dan membaca, mencerna dan merasa.
Justeru, andai diri ingin berkongsi, biarlah perkongsian itu berpunca dari hati yang berhubung dengan Ilahi. Agar yang dikongsi itu tidak mengundang fitnah tetapi menjadi bahan dakwah yang mampu mentarbiah dan segala hasil darinya tertulis sebagai ibadah di sisi ALLAH swt.