Saturday, March 23, 2013

Syria Tanpa Surianya Lagi

SYRIA TANPA SURIANYA LAGI

Hari ini, hari yang suram buat kami. Cahaya mentari yang menyimbah bumi dan menerangi bilik kecil ini melalui atap rumah kami langsung tidak sedikit mengubah persepsi kami tentang hari ini – hari yang suram lagi kelam, kerana Syria tanpa surianya lagi.

Hari ini juga, buat kedua kali sepanjang perkahwinan ini, saya melihat air mata jantan seorang lelaki yang kuat, tabah dan cekal itu mengalir membasahi pipi. Ya, untuk kedua kali, air matanya menitis dalam dakapan seorang isteri.

Hanya bahu ini yang mampu dipinjamkan buat penenang hati dan pemulih semangatnya. Tiada lagi kata-kata lantang dan indah yang mampu disusun kali ini untuk menjentik semangatnya, kerana saya juga kehilangan kata-kata, ditandang rasa sebak menggila atas berita yang kami terima sebentar tadi.

Hebat tamparan berita kali ini, hilang lagi mutiara berharga di bumi Syria ini; perginya seorang ulama ulung dan agung, dibunuh binatang bertopengkan manusia yang liar dan buas nafsunya terhadap darah manusia demi mempertahankan ‘dunia’ yang difikir dalam genggamannya.

Hari ini, 22 Mac 2013, Syria yang semakin tua dengan drama darah dan air mata, terus digempar lantas bertambah hambar dengan siri pembunuhan kejam  ulama besar, Al Faadhil Syeikh Dr. Muhammad Ramadhan Al Bouty, yang telah banyak berjasa dan berbakti dalam mendidik manusia kembali kepada Ilahi.

Sebentar tadi, debaran jiwa tidak terkata. Segunung bebanan dan melaut debaran dirasa tatkala menanti nama si mati diumumkan melalui corong pembesar suara Masjid Syeikh Muhayyu Addeen, masjid di hadapan rumah kami. Kebiasaan di Syria ini, kematian dihebahkan melalui pengumuman-pengumuman di masjid berhampiran rumah si mati. Debaran kami diakhiri dengan kesedihan mendalam dan semangat pun jatuh menjunam, apabila pengumuman yang dibuat  sebentar tadi adalah pengumuman tentang pemergian Syeikh Ramadhan Al Bouty. Maka benarlah khabar yang tersebar luas di laman internet bahawa beliau kini telah pun bertemu Ilahi.

Kami masing-masing terdiam, membungkam, menahan sebak yang mendatang.  Kekesalan menebal di hati mengenangkan Syria yang kami sayangi kini berubah menjadi mimpi ngeri.

“Rasa macam pointless, kan?” Saya bertanya suami.
“A’ah..” Dia menjawab pendek tetapi pantas.
“Rasa macam nak balik Malaysia, kan?” Cuba-cuba menduga rasa hatinya, apakah sama dengan apa yang saya rasa?
“A’ah.. “
“Macam dah hilang sebab (untuk terus berada di Syria)..”

Hilang sebab.

Hilang sebab kerana kami memilih untuk terus berada di sini di saat ramai menjauhi dan menyelamatkan diri, adalah kerana kami begitu jatuh hati dan senang sekali dengan budaya ilmu serta kehidupan yang dikelilingi oleh para ilmuwan  dan ulama di sini. Tapi kini, andai nyawa ulama besar sendiri sudah menjadi tiada nilai di bumi ini, maka apalah adanya kami? Kami tentu lagi tidak diperlukan lagi di sini dan betapa bumi ini seolah-olah bukan lagi untuk kami, para penuntut ilmu.

Itu belum kira lagi ulama-ulama dan syeikh-syeikh lainnya yang dibuang negeri, sentiasa diekori dan dikawal rapi serta yang berada dalam tahanan tentera tanpa khabar berita. Apalah nasib mereka.

Apabila ulama dibunuh dengan kejam dan penuh kebiadapan begitu, sedangkan mereka adalah kumpulan manusia yang terbaik dan paling layak dihormati, maka bagaimana pula dengan kami? Insan hingusan dan picisan yang langsung bukan siapa-siapa di sisi sesiapa. Masihkah ada ruang untuk kami? Sudikah Syria untuk kami lagi?

Kami penuntut ilmu, merantau meninggalkan tanah air sendiri agar kami bisa berada lebih dekat dengan ahli-ahli ilmu. Kami juga memilih untuk terus berada di sini agar hidup kami terus subur, dan hati kami mudah terhibur dengan budaya-budaya ilmu di negara ini. Itulah kegembiraan kami yang membuatkan kami terus memilih untuk berada di sini walau saban hari negara ini disimbahi darah mereka yang menghuni lantaran kekejaman pemimpin tirani.

Tapi hari ini, kecintaan kami kepada Syria yang dulunya menjadi peneguh langkah kaki seolah-olah menghambat kami untuk pergi membawa diri. Syria sudah bertukar wajah. Syria bukan lagi bumi kerinduan kami. Syria bukan lagi bumi yang pandai mencuri hati. Syria bukan lagi bumi yang sudi menerima kami. Syria kini cumalah bumi yang layak ditangisi pagi dan dinihari. Sayang sekali, segalanya yang dulu ceria tentang Syria kini cuma nostalgia.

Sungguh, kami semakin menjauh hati. Dan andai kami pulang nanti, mungkin Syria tidak lagi kami rindui. Lambaian Syria tak mampu lagi menjadi igauan dan mimpi di malam hari. Sukar untuk digambarkan, bagaimana rasanya apabila sesuatu yang amat dicintai akhirnya berubah menjadi mimpi ngeri.

Pemergian Syeikh Dr. Ramadhan Al Bouty, benar-benar menggugat semangat kami. Ilmu dan ulama; adalah sebab kecintaan kami kepada Syria. Syria tempat ilmu bersemadi, medan ulama’ dan ahli ilmu menabur bakti, menjadikan ianya destinasi idaman hamba yang lapar pedoman seperti kami.

Tetapi kini, apabila ulama diperlakukan begini, maka hilanglah rasa cinta kami. Kami benar-benar bertawar hati. Syria sudah tidak mahukan kami lagi.

Syria, kasihan kamu. Dulu nan indah, kini berdarah lagi bernanah. Gara-gara manusia yang buas nafsunya, manusia yang buta hatinya, manusia tunggangan syaitan durjana.

Aku bersimpati padamu. Moga kau Syria, akan kembali seperti sediakala, tika masa yang lebih diketahuiNYA. Doaku ada untukmu selalu.

Syria, aku berharap dengan sepenuh pengharapan, agar segera kau kembali seperti sediakala.
Izinkan aku Syria, untuk jatuh cinta buat kali kedua.

Semoga peluang itu tetap ada.



No comments:

Post a Comment