Friday, December 10, 2010

Pasca Fasa Pendosa

Meneropong Yang Di Balik Dosa

Natijah fitrah yang mengiktiraf rasa hidup berTuhan, menyebabkan dosa menjadi seberat-berat beban. Kerana dosa yang membuatkan si hamba merasa sangat lemah, dia akhirnya menyerah kalah  dan kembali kepada ALLAH dengan  penuh rasa bersalah.

Jahil mengekang hawa nafsu dan tidak berhati-hati dengan tipu daya membuatkan dia terlanjur berdosa. Tetapi, tidak jahil tentang sifat Tuhannya membolehkan dia kembali membina hubungan dengan Penciptanya. Justeru, setelah menjadi pendosa – kita sebenarnya mampu mengukur sejauh mana kita sebenarnya mengenali ALLAH Ta’ala.

Untuk si hamba yang mengenali ALLAH Ta’ala, dia yakin bahawa ALLAH tidak akan menyia-nyiakan taubat si pendosa sepertinya. Dia yakin, bahawa ALLAH Dzat Yang Maha Pemurah tidak sesekali kedekut untuk memberikan dia peluang kedua, ketiga dan seterusnya walau dia ribuan kalinya tetap terlanjur berdosa.

Kerana yakin dengan rahmat, asma’ dan janji TUHANnya yang Maha Penyantun, Maha Pengampun, dia tidak terhalang untuk kembali mencari jalan pulang. Dosa itu ALLAH ciptakan agar melalui teropong seorang pendosa, kita bisa mengintai luasnya cinta dan kasih sayang Yang Maha Esa - yang sentiasa bersedia menerima taubat hambaNYA, walaupun menjadi derhaka itu dipilih kita dengan penuh rela.

Di kala menilai dosa, jangan sampai terlupa mengintai rahmatNYA. 

Malu Seorang Pendosa

Merasa malu setelah melakukan dosa adalah sindrom biasa buat jiwa-jiwa yang masih baik fungsinya. Perasaan malu dengan Tuhan akibat dosa yang dilakukan menghambat dia untuk cepat memohon keampunan. Tetapi, bukankah orang yang malu itu akan berusaha melarikan diri dan menyembunyikan wajahnya dari orang yang dia merasa malu dengan?

Ya. Tetapi itu sesama manusia. Kerana dengan manusia kita mampu bersembunyi. Tetapi dengan ALLAH Ta’ala, adalah itu mustahil sekali. Pergilah ke mana-mana benua, larilah ke ceruk mana jua – hakikat bahawa kita sentiasa terikat dengan Tuhan dan takkan mampu terselamat dari pemerhatiannya ke atas kita tetap tidak dapat diubah. Segalanya tentang kita dalam pengawasan dan kekuasaanNYA.

Dari sini, si hamba mula mengerti kalau dengan manusia itu – dia mampu lega dengan bersembunyi. Tetapi dengan ALLAH, dia hanya mampu lega dengan bertaubat dan mengakui kesalahan diri. Kerana itu, perasaan malu dengan Tuhan semakin menghambat dia untuk terus mencari keampunan. Ternyata, kembali kepada Tuhan adalah satu-satunya jalan penyelesaian.

Malu Yang Memperdaya

Tetapi, ada juga jenis manusia yang apabila berdosa, merasa diri amat celaka sehingga menjadi malu untuk menyebut tentang TUHANnya. Sayang seribu kali sayang, kerana bukan hatinya sahaja yang telah ternoda dengan dosa yang dilakukannya, bahkan perasaan malunya tadi yang sebenarnya natijah dari pengiktirafan akan hakikat kehambaan dirinya juga turut dinoda syaitan, sehingga dia akhirnya tertipu.

Kerana merasa besarnya dosa, dia menjadi hamba yang malu dan lari dari TUHAN, bukan hamba yang malu dan kembali kepada TUHAN. Dia terlupa ALLAH dalam fikirnya tentang dosa. Dia terlupa ALLAH dalam rasanya tentang celaka – sehingga difikirnya tidak layak menerima peluang kedua. Inilah manusia yang terlupa ALLAH dalam fikir dan rasanya.

Kerana manusia cepat tertipu, ALLAH telah membekalkan banyak peringatan di dalam al Quran dan hadis agar jangan sesekali kita merasa putus asa dari rahmat ALLAH. Tandanya berputus asa dari rahmat ALLAH ialah apabila dosa yang satu, melahirkan ‘rasa tidak mengapa’ untuk dosa yang kedua, ketiga dan seterusnya. Akhirnya, tenanglah dia dalam rendaman dosa, lantaran gagal mengurus pemikiran dan perasaan setelah melalui fasa menjadi seorang pendosa.

Apabila tewas dengan ujian maksiat – samada menjadi derhaka dalam rela atau tanpa sengaja –  kembalilah kepada ALLAH dalam setiap fikir dan rasa, agar tidak tersungkur buat kali kedua.

Kalau Berdosa, Carilah Cinta

Hamba yang malu dengan Tuhannya, cepat memaksa diri untuk kembali taat setelah terlanjur bermaksiat. Nafsu yang degil dididik untuk menyintai apa yang ALLAH cintai dan membenci apa yang ALLAH benci. Bukankah ini perkara biasa dalam bercinta? Kita cuba mencari dan mencipta sebanyak mungkin persamaan antara kita dan dia. Kalau dia suka, kita akan ‘paksa’ diri agar turut sama menyukai.

Mengumpan kasih sayang ALLAH tak semudah mengumpan cinta gadis pujaan Malaya. Dengan bait kata yang sederhana, mawar merah setangkai dua dan sekotak coklat dari luar negara – si gadis sudah boleh cair hatinya. Kerana cinta manusia adalah cinta yang murah, kerana itu mendapatkannya juga mudah. Berbeza halnya dengan cinta ALLAH.

Cinta ALLAH – yang hanya boleh dimiliki setelah melalui fasa paling asas; iaitu bertarung melawan hawa nafsu yang terperangkap dalam diri sendiri. Ibaratnya, menghunus parang dan menyilang pedang di dada sendiri. Mudahkah? Tangan kanan berpedang, tangan kiri berparang. Mesti tahu antara dua – yang mana kawan untuk disimpan, yang mana lawan untuk ditumpaskan. Sengit bukan? 

Sakit Untuk Selamat

Jadi, mengapa harus hairan kalau sepanjang perjalanan mendapatkan cinta Tuhan, kita menemui begitu banyak kesakitan? Kerana setiap saat dalam perjalanan itu, kita sebenarnya dalam sebuah pertempuran. Adat bertempur, ada yang menyerang dan ada yang diserang. Yang menyerang adalah kita yang dikurniakan akal fikiran untuk berfikir dan bertindak setelah mengenal-pasti antara yang baik dan yang buruk. Yang diserang pula adalah musuh kita yang nama manjanya ialah hawa nafsu dan bisikan syaitan.

Justeru, kita seharusnya jelas bahawa segala kesakitan yang dirasai sepanjang perjalanan-merangkap-pertempuran mencari kasih sayang ALLAH, adalah kesakitan yang dirasai akibat nafsu yang tercedera. Kita turut merasa lukanya kerana nafsu adalah musuh besar yang terperangkap dalam jasad kita. Jadi, tidak hairanlah apabila nafsu terluka, kita juga menanggung sakitnya tercedera.

Yakinlah bahawa kesakitan yang dirasai itu adalah natijah dari nafsu yang terluka. Berbaloi apa? Si hamba seharusnya merasa lega kerana kini musuhnya tercedera lagi lemah tak berdaya – maknanya, dia kini terselamat. Kerana nafsu yang ‘sihat’ dan kenyang cuma tahu mengheret dia ke lembah dosa. Jadi, jangan diambil peduli sakitnya diri dalam usaha mentaati dan memancing kasih sayang Ilahi.

Hakikatnya tentang mengenyang dan memenangkan hawa nafsu ialah, ia buat kita tidak menderita untuk tempoh sementara, dan berbahagia untuk tempoh seketika. Menumpaskan hawa nafsu pula, membuatkan kita menderita untuk tempoh seketika – demi merasa bahagia untuk selama-selamanya. Fikir sendiri, mana lebih baik?

Sakit untuk selamat; itulah mujahadah. 


Akhir kata, kesakitan (menumpaskan nafsu) itu bukan sahaja rahmat, tetapi sebenarnya petunjuk ke arah zon yang selamat. 

1 comment: