Wednesday, December 26, 2012

Kehamilan Bersyarat Kepayahan

Sedar tak sedar, fasa baru itu semakin menghampiri. Kurang 8 minggu lagi berbaki. Usah ditanya tentang perasaan dan persediaan kerana nyatanya, saya sendiri bingung untuk memberi jawapan.

Apa benar aku bakal menjadi ibu? Apa benar si kecil itu dalam perutku? Apa benar kehidupan baru sedang menunggu?


Kehidupan baru yang menunggu dan ditunggu-tunggu para wanita yang sudah berumahtangga. Kehidupan baru yang bakal mengubah si wanita dari banyak sisi dan penjuru.

Kata orang, ada banyak kejutan dan perbezaan yang akan berlaku ke atas seorang wanita selepas beliau melahirkan. Kejutan dan perbezaan dari sudut fizikal, mental, emosional, spiritual dan boleh jadi juga intelektual. Tetapi hakikatnya, sebelum melahirkan iaitu di dalam tempoh kehamilan itu sendiri, sedikit demi sedikit kejutan dan perbezaan itu dapat dirasai.

Saya akui, pada trimester pertama dan kedua, saya kurang merasai perubahan pada diri dan kehidupan saya. Hanya di trimester ketiga, semuanya menjadi semakin ketara. Tidur malam yang hampir setiap hari terganggu, pening kepala, mual dan loya, sakit-sakit badan, sesak nafas, lemah badan, heart-burning, rhinitis, masalah kekejangan, masalah pundi kencing, pergerakan yang terbatas, perlahan dan memenatkan, serta beberapa lagi gejala ketidak-selesaan yang setia bertamu di samping sakit-sakit lain yang datang tanpa mengira waktu.
 
Kepayahan fizikal yang menganggu emosional yang datang silih berganti ini membuatkan saya akhirnya menyedari perubahan yang sedang berlaku ke atas diri, juga menyedari kejutan bahawa menanti dan menghadapi sebuah kelahiran tidak semudah yang disangkakan.
 
Dan selalu juga saya terfikir, apalah hikmahnya ALLAH menetapkan tempoh berbulan-bulan begini untuk sebuah kelahiran? Sungguh, ianya bukanlah tempoh yang mudah!
 
Ketika berjalan kaki untuk ke kuliah tempoh hari, dalam aturan langkah yang berat dan memenatkan lantaran perut yang semakin membesar dan badan yang semakin memberat, saya bertemu dengan jawapan. Sesekali, beratnya perut ini membuatkan langkah saya terhenti. Nafas yang tercungap-cungap dan kesakitan ringan pada perut yang mengeras membuatkan saya lebih tersentuh hati memikirkan jawapan di sebalik pertanyaan itu tadi – hikmah sebuah kelahiran itu mesti dengan berbulan-bulan kehamilan yang penuh kepayahan dan kesakitan.

Pra Kursus Buat Si Ibu
 
Salah satu hikmah mengapa sesebuah kehamilan disyaratkan dengan tempoh berbulan-bulan kepayahan dan kesakitan, adalah kerana kehamilan itu bukan semata-mata tentang membawa kandungan, tetapi hakikatnya ianya adalah pengenalan tentang sebuah kehidupan baru yang penuh liku-liku apabila seseorang wanita itu mula berperanan secara aktif sebagai seorang ibu. Kelak, apabila tidur malamnya selalu sahaja diganggu, makan minumnya tidak lagi berwaktu, letih laparnya bukan lagi isu, sakit demamnya dia sendiri tidak tahu dan segala-gala tentang dirinya bukan lagi nombor satu.

Perubahan dan kesusahan yang datang secara berperingkat ini menjadi medan latihan untuk para wanita mempersiapkan diri dan emosinyanya agar lebih bersedia berhadapan dengan kesusahan dan cabaran yang jauh lebih besar kelak, apabila si permata hati itu lahir ke bumi: si comel bersusuk kecil yang sentiasa minta dilindungi dan dipenuhi dengan pelbagai karenah dan ragam yang tersendiri. Tanpa persediaan yang cukup dan gambaran awal tentang cabaran kehidupan sebagai seorang ibu, pastinya si ibu bakal selalu ditewaskan dengan emosi dan kelelahan fizikal yang pastinya banyak menguji.

Justeru, kehamilan 9 bulan yang bersyaratkan kepayahan dan kesusahan sebenarnya adalah pra kursus untuk si ibu agar jiwanya menjadi lebih bersedia dan fizikalnya menjadi lebih berupaya, kerana nyatanya, menjadi seorang ibu bukanlah perkara mudah walaupun ianya adalah perkara biasa.

Sebagai contoh, diuji dengan tidur malam yang terganggu dek posisi yang tidak selesa atau sakit kepala atau sesak nafas atau kekerapan ke tandas atau apa jua gejala yang lain, - adalah satu latihan untuk membantu bakal ibu melupakan bagaimana rasanya tidur yang lena dan bagaimana nikmatnya rehat yang sempurna. InshaALLAH kelak, segala tuntutan dan keperluan si kecil tetap mampu dipenuhi si ibu di waktu semua manusia lena diulit mimpi, tanpa si ibu merasa disakiti. Si ibu, tetap di situ, penuh kesabaran melayan dan memenuhi keperluan si anak kecil yang belum mengerti sukarnya melayani tuntutannya yang selalu meminta untuk dikasihi lagi dikasihani.

Ada Kepayahan Ringan, Ada Kepayahan Berat
 
Itu cuma satu dari longgokan hikmah-hikmah yang lain tentang kehamilan yang berteman kepayahan. Ada banyak lagi hikmah-hikmah lain yang boleh kita fikirkan. Tetapi yang penting, setiap kepayahan dan cabaran yang dilalui sepanjang tempoh kehamilan ini, mesti dilalui dengan positif dan penuh sangka baik terhadap ALLAH swt. InshaALLAH kelak, sikap-sikap baik yang dilazimi si ibu ketika kehamilan, akan diwarisi si anak menjadi suatu kelebihan.
Andai diuji dengan kesempitan wang dan kemiskinan, ayuh bersyukurlah. Itu tanda ALLAH ingin mempersiapkan zuriatmu agar mampu hidup dalam kekurangan dan kesederhanaan di saat ramai manusia berlumba-lumba menjadi hamba kemewahan.

Andai diuji dengan sikap orang sekeliling yang banyak menipu dan memperbodohkanmu, maafkan mereka, kemudian belajar dan bersabar. Itu tanda ALLAH ingin menganugerahkan zuriatmu jiwa yang teguh menghadapi cabaran, pemikiran yang cepat dewasa dan perilaku yang indah budi bahasa.
 
Andai diuji dengan kebencian, ketakutan, kehilangan, keseorangan dan sebagainya, kekalkan momentum positif dan teruskan menggali hikmah-hikmah yang tersembunyi. Bersabar dan terus ucapkan syukur, kerana ALLAH dalam perancangan dan kebijaksanaanNYA, telah memilih buatmu zuriat yang cekal dan kental, bukan calang-calang zuriat yang sedang kau kandungkan!

Tafsiran Positif Sebuah Kepayahan

Walau apa jua halangan, kesusahan dan cabaran yang menanti sepanjang perjalanan sebuah kehamilan, baik kepayahan yang ringan seperti yang saya hadapi, atau kesusahan yang berat yang ramai wanita-wanita lain hadapi - tafsirkan setiap kesusahan dan ujian tersebut sebagai satu kebaikan, yang bakal diwarisi si anak dalam kandungan sebagai sebuah kelebihan.

Andai kurang kesusahan yang dihadapi ketika kehamilan, syukur kerana ALLAH telah banyak mempermudahkan. Andai penuh ranjau kepayahan untuk sebuah kelahiran, sabar kerana ALLAH telah menyimpan buatmu banyak ganjaran.

Hakikatnya apa jua pengalaman kehamilan yang dilalui, laluilah ianya dengan penuh kesyukuran dan kesedaran. Dan yang terakhir, kembalikan segala hati dan perasaan, akal dan pemikiran, pengajaran dan pengalaman kepada ALLAH, sebagai persembahan yang indah yang moga-moga, diterima sebagai ibadah, inshaALLAH. Pasti si ibu takkan pernah serik untuk hamil lagi. Bahkan kehamilan, walaupun terpaksa dilalui dengan pelbagai kepayahan, baik yang berat mahupun ringan, akan menjadi kesakitan yang dirindui, kesakitan yang diseru-seru agar ia datang kembali.